Sembah Takzim kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj
- drkartinirahim
- Aug 18
- 2 min read
Updated: Aug 27

Sembah Takzim kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun,
Ampun Tuanku, patik Dr. Kartini Farah Abdul Rahim, seorang pakar kulit yang bertempat di Hospital Pakar Avisena di Shah Alam, dengan penuh takzim dan rendah diri menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenaan kempen anti-buli yang dilancarkan dari peringkat sekolah rendah bagi membendung budaya buli dalam kalangan rakyat jelata.
Namun demikian, patik mohon limpah perkenan Tuanku untuk menyembah cadangan agar kempen ini turut merangkumi usaha membanteras perbuatan membuli dan mendera haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan monyet, yang sering menjadi mangsa kezaliman manusia. Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencerminkan akhlak yang rendah, malah bertentangan dengan nilai ihsan dan kasih sayang yang menjadi teras masyarakat Madani.
Sesungguhnya, haiwan juga makhluk ciptaan Ilahi yang berhak dilayan dengan belas kasihan. Kes Kopi, seekor anjing jalanan yang disayangi di Besut, Terengganu, telah ditembak mati pada 6 Oktober 2024. Tragedi ini mencetuskan rasa dukacita yang mendalam serta kesedaran akan keperluan untuk bertindak sebagai masyarakat madani yang berperikemanusiaan dan bertanggungjawab.
Mutakhir ini, telah berlaku beberapa insiden menyayat hati melibatkan penderaan dan pembunuhan dua ekor anak kucing secara kejam di Pangsapuri Sri Nilam, Ampang. Sebelum ini, beberapa ekor kucing turut ditemui mati di lokasi yang sama.
Kejadian-kejadian ini bukan sahaja mencetuskan rasa dukacita yang mendalam dalam kalangan masyarakat, malah menyeru kepada tindakan berperikemanusiaan dan penguatkuasaan yang lebih tegas demi melindungi makhluk ciptaan Ilahi yang tidak berdaya.
Ampun Tuanku, patik dengan penuh dukacita difahamkan bahawa sehingga kini, kertas siasatan masih belum dibuka bagi menyiasat kes yang amat mengerikan ini.
Di Kudat, Sabah pula dua ekor anak anjing dipukul serta dibunuh dengan cara yang amat kejam sekali oleh beberapa anak muda rakyat tempatan.
Memandangkan keadaan yang kian membimbangkan serta insiden penderaan haiwan yang semakin berleluasa, maka patik dengan penuh takzim dan rendah diri menyembah memohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Dengan sokongan serta titah perkenan Tuanku jua, patik amat yakin bahawa pihak kerajaan akan lebih peka dan tegas dalam menangani isu ini, demi melahirkan generasi yang berperikemanusiaan, berakhlak mulia, serta menjunjung tinggi nilai ihsan sebagaimana yang dituntut oleh agama dan budaya bangsa.
Semoga Tuanku sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang sempurna dan kebijaksanaan dalam memayungi rakyat jelata.
Menjunjung kasih, Tuanku.


Comments