top of page

Bersama-sama DBKL menerajui program terbaik untuk membawa kesejahteraan kepada haiwan jalanan

  • drkartinirahim
  • Aug 28
  • 2 min read
Bersama-sama Dr Nor Halizam Ismail dan beberapa staf dari Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar, DBKL pada 26 Ogos, 2025
Bersama-sama Dr Nor Halizam Ismail dan beberapa staf dari Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar, DBKL pada 26 Ogos, 2025

Dengan berlangsungnya pertemuan bersama pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 26 Ogos 2025, saya yakin langkah ini menandakan komitmen yang lebih kukuh terhadap kesejahteraan haiwan-haiwan jalanan. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Berusaha Dr Nor Halizam Ismail, dan dihadiri oleh para pencinta haiwan yang komited dalam memperjuangkan kaedah kawalan populasi haiwan jalanan secara berperikemanusiaan dan beretika.

Perbincangan tersebut merangkumi beberapa perkara penting, termasuk kaedah pengawalan populasi anjing jalanan di kawasan di bawah pentadbiran DBKL, pendekatan penjeratan yang berperikemanusiaan tanpa kekasaran terhadap haiwan, serta pelaksanaan program TNRVM (Trap, Neuter, Rehabilitate, Vaccinate, and Manage), iaitu:


T : Trap N : Neuter

V: Vaccination R: Release, Rehome, Rehabilitate

M: Manage


Haiwan-haiwan jalanan ini wujud akibat pengabaian manusia sendiri. Bagi mengawal populasi mereka secara berkesan, kami mencadangkan pelaksanaan prosedur yang dikenali sebagai pengebiran atau neutering, iaitu pembedahan membuang organ reproduktif bagi haiwan jantan. Bagi haiwan betina pula, program pemandulan akan dijalankan. Ini adalah untuk memastikan populasi anjing-anjing jalanan ini tidak akan bertambah banyak di sesebuah kawasan.


Vaksin juga akan diuruskan pada peringkat ini untuk memastikan tidak ada pembiakan penyakit anjing gila (atau rabies).


Selepas prosedur tersebut, barulah masa depan haiwan-haiwan ini dapat dibincangkan secara lebih teratur—samada mereka dikembalikan ke lokasi asal atau dipindahkan ke tempat perlindungan, seterusnya diberi peluang untuk diambil sebagai haiwan angkat oleh individu yang bertanggungjawab dan penyayang.


Kami turut memberi taklimat bahawa berdasarkan kajian yang dijalankan, populasi anjing dan kucing jalanan tidak akan berkurangan meskipun haiwan-haiwan tersebut telah dilupuskan. Hal ini disebabkan oleh kadar pembiakan yang tinggi dalam kalangan haiwan jalanan, serta fenomena “kesan vakum” yang berlaku apabila sesuatu kawasan dikosongkan—di mana haiwan-haiwan baharu akan segera menguasai semula kawasan tersebut.


Pendekatan memulangkan haiwan-haiwan ini ke lokasi asal hanya wajar dilaksanakan selepas pendidikan berkenaan rasa hormat dan belas ihsan terhadap haiwan dapat dijalankan bersama komuniti setempat.

Cara yang paling berkesan ialah dengan mencari keluarga penyayang yang baharu untuk haiwan-haiwan jalanan ini, manakala haiwan yang lebih agresif perlu ditempatkan di pusat perlindungan bagi menjalani proses rehabilitasi atau, jika tiada pilihan lain, dilupuskan secara beretika dan berperikemanusiaan. Semua ini dalam aspek 'Manage' ataupun pengurusan.


Kami berharap projek perintis yang dilaksanakan bersama pihak DBKL dalam waktu tersingkat akan menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang lebih Madani, berteraskan nilai ihsan, tanggungjawab dan kelestarian.




Comments


bottom of page