top of page

Renungan: Terperangkap dalam Dunia Plastik: Sampai Bila?

  • drkartinirahim
  • Sep 3
  • 2 min read

Kepada Ibu, Ayah, Pakcik, Makcik, Anak-anak dan Saudara-saudari yang dikasihi,

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Saya ingin berkongsi sesuatu yang semakin meresahkan saya—bahaya plastik terhadap kesihatan dan alam sekitar. Kita mungkin tidak sedar, tetapi zarah-zarah mikroplastik terdapat dalam makanan, air minuman, dan udara yang kita hirup setiap hari.


Suatu kajian yang dibuat oleh National Institutes of Health (NIH) yang menyatakan dalam setiap satu liter air dalam botol air yang dibeli dari kedai dan kita minum, sekurang-kurangnya 240,000 mikroplastik akan diserap dalam badan kita!


Lapisan plastik dalam cawan kertas
Lapisan plastik dalam cawan kertas

Untuk pengetahuan umum, minuman yang panas, apabila dimasukkan ke dalam cawan kertas yang sebenarnya kalisair kerana wujudnya satu lapisan nipis jenis plastik, akan mula menguraikan lapisan plastik tersebut tanpa diketahui dalam hanya beberapa minit sahaja.   


Pada masa yang sama, berapa bahan kimia seperti Bisphenol A (atau ringkasnya, BPA) dan Dibutyl Phthalate (DBP) boleh terlepas daripada lapisan plastik yang terurai dan, apabila diminum, akan meniru fungsi hormon estrogen serta memberi kesan kepada kesihatan jangkamasa panjang. BPA itu ditambah sebagai bahan tambahan plastik (atau plastic additive) sementara DBP digunakan sebagai pelembut plastik (plasticizer).

 

Itu sebab kenapa adanya bekas plastik jenis ‘BPA-free’ yang diproses tanpa menggunakan BPA.

 

Jikalau tidak disebut, mungkin anda tidak sedar bahawa lebih membimbangkan adalah, plastik jenis Styrofoam yang digunakan untuk makanan panas, di mana styrofoam itu boleh melepaskan bahan kimia asasnya iaitu styrene yang diklasifikasikan sebagai toksin karsinogenik yang boleh menyebabkan penyakit barah.  

 

 Bekas yang boleh dipakaiguna semula
Bekas yang boleh dipakaiguna semula

Ini antara sebabnya sejak dulu lagi, saya cuba tidak membeli minuman bungkus, air botol plastik mahupn bancuh minuman panas menggunakan cawan kertas, tetapi lebih suka kepada bekas minuman jenis logam yang dibawa ke klinik.

 

Setiap kali saya akan menggunakan termos logam bercorak bunga berwarna ungu apabila membeli makanan yang datang dengan sup sekali, sementara satu lagi bekas berwarna jingga terang saya gunakan untuk minuman. Pelik tak pelik, kesihatan diri jauh lebih penting. Saya percaya perubahan sebegini bermula dengan keberanian.

 

Sedihnya!
Sedihnya!

Ha, satu lagi nasihat saya untuk kelestarian alam sekitar demi generasi masa depan. Mungkin anda pernah lihat gambar sesekor penyu yang dijumpai mati di tepi pantai kerana straw plastik yang tersangkut di hidungnya. Inilah straw plastik yang kita guna dan dibuangkan. Tidakkah ini membuatkan kita termenung sambil bertanya, “Kenapakah hidupan laut yang tidak bersalah, tetapi terpaksa menanggung akibat daripada kelalaian kita?


ree

 

Yang selalu menyedihakan saya ialah longgokan plastik di tapak pelupusan berhampiran. Bau busuk dan pemandangan ini membuatkan saya terfikir—jika kita semua ambil langkah kecil, kita boleh kurangkan beban bumi ini.

 

Saya menyeru bertekad pada hari ini juga:

  • Gunakan botol dan bekas yang boleh diguna semula.

  • Tolak sudu, garfu dan straw plastik.

  • Sokong restoran yang mesra alam.

  • Galakkan pemilik perniagaan menerima bekas pelanggan.

Ya, tidak dapat dinafikan memang sukar untuk ubah tabiat, tetapi kita boleh saling memotivasikan. Jadikan bekas makanan kita satu simbol perubahan—warna-warni, praktikal dan penuh harapan.

 

Dengan kasih dan harapan, 

 

 

Kartini Rahim

 

Naib Presiden, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Anak, ibu, saudara, dan rakan perjuangan anda

 

 

Comments


bottom of page