Ke mana perginya plastik dalam cawan minuman anda?
- drkartinirahim
- Aug 28
- 1 min read
Tahukah anda kesan sebenar apabila anda minum kopi atau air panas daripada cawan yang diperbuat daripada kertas?
Sebelum saya meneruskan perbincangan ini, saya menggalakkan anda menonton beberapa video hasil kajian dan perkongsian berkenaan risiko penggunaan cawan kertas:
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa tanpa lapisan plastik dalam cawan kertas, cawan tersebut memang tidak dapat digunakan, terutama sekali untuk membuat minuman panas.
Tetapi tahukah anda bahawa mengikut kajian pakar saintis, seseorang manusia menelan dan menyedut antara 2,000 hingga 7,000 zarah mikroplastik setiap hari secara purata di seluruh dunia.
Angka ini merujuk kepada penggunaan harian. Namun, berapakah jumlah keseluruhan jika dikira dalam tempoh setahun, sedekad, atau bahkan lima dekad?
Zarah-zarah mikroplastik bukan sekadar berasal daripada satu cawan, malah turut terhasil apabila barangan plastik tercalar, terurai akibat sinaran UV matahari, atau mengalami degradasi kimia di tapak pelupusan.
Semua ini mencemarkan udara yang kita hirup tanpa disedari, serta air yang akhirnya sampai ke meja makan kita melalui rantaian makanan.
Ini akan mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan anda dan keluarga anda, termasuklah keradangan tisu, kematian sel dan tekanan oksidatif, gangguan mikrobiom usus, penyakit kardiovaskular, masalah pembiakan, serta potensi kanser dan penyakit neurodegeneratif.
Pengulasan ringkas ini diharap dapat menyuntik sedikit kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia agar kita bersama-sama berusaha mengurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.



Comments